Thursday, March 10, 2011

Khasiat Buah Delima


Buat pembaca yang dihormati, thanks for viewing my blog. Setelah kita berkongsi tentang ulam pegaga, kali nie kita kongsi pulak pasal khasiat buah delima...


Delima atau ar-rumman dalam bahasa Arab juga dikenali dengan  nama saintifiknya Punica granatum mengandungi antioksidan yang berupaya melindungi kalenjar prostat, payu dara, organ paru-paru dan jantung atau sistem kardiovaskular. Kajian menunjukkan buah delima boleh memusnahkan sel kanser payu dara tanpa memudaratkan sel sihat dan menghalang sel kanser payu dara dari terbentuk. Kajian keatas tikus makmal menunjukkan delima merencat pembentukan kanser.

Dengan memakan buah delima juga boleh menghalang pembentukan plaq dalam salur darah dan arteri, mengurangkan aras LDL atau kolesterol jahat dan meningkatkan aras HDL atau kolesterol baik. Kajian juga menunjukan delima boleh mencegah dan melambatkan penyakit nyanyuk atau penyakit Alzheimer. Beberapa kajian menunjukkan delima boleh mengurangkan pembentukan plaq gigi, mencegah kemerosotan rawan dan menghalang radang sendi.

Delima yang berasal dari negara Iran, juga boleh didapati di India, Afghanistan dan Syria. Pada zaman Nabi Musa AS lagi, buah delima juga ditanam di Palestin dan Lebanon. Buah delima menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan masyarakat di Timur Tengah. Manakala bagi agama Kristian, buah delima menjadi simbol kebangkitan semula dan kehidupan yang kekal serta dalam agama Buddha, buah delima dikatakan buah yang berkat selain daripada buah limau dan pic. Di China pula, buah delima menjadi satu simbol kesuburan dan rezeki.

Dalam Islam buah delima merupakan salah satu buah yang terdapat di dalam syurga yang dikurniakan Allah SWT sebagai rezeki yang boleh dinikmati oleh umat manusia yang menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya sebagaimana yang termaktub dalam firmanNya di dalam surah al An'am ayat 99. “Dan Dialah yang menurunkan hujan..Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma) dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan”.

Buah delima amat kaya dengan sodium dan mengandungi unsur- unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas dan lembap, oleh itu ia amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada dan paru- paru kerana ia akan melegakan batuk. Sepertimana sabda daripada Nabi Muhammad SAW daripada Ali dan Abu Nu'aim yang bermaksud: "Buah delima dan kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman". Jus buah delima pula dapat memberikan zat kepada tubuh badan serta menyegarkan badan dan ia dapat dihadam dengan cepat kerana sifatnya yang ringan dan akan mengeluarkan haba bersama dengan angin di dalam perut. 


Buah delima juga bertindak sebagai penawar yang baik untuk cirit birit, anemia, tekanan darah tinggi dan atritis. Di samping itu, buah delima juga mampu menghilangkan rasa keletihan. Khasiat buah delima sebagai superfruit tidak dapat disangkal lagi kerana ia bukanlah hanya sekadar sebiji buah yang mengandungi banyak khasiat untuk dimakan tetapi juga memberi manfaat kepada umat manusia. 

No comments:

Share |