Friday, March 25, 2011

Laksa Johor Asli KR


Kelainan Laksa Johor berbanding laksa2 dari negeri lain di Malaysia ialah penggunaan spaghetti sebagai laksa dan tidak menggunakan laksa tepung  beras seperti lazimnya laksa. Dengan penggunaan spaghetti sebagai bahan asas, ianya memberi kelainan rasa yang unik walaupun penggunaan bahan asas lain seperti isi ikan untuk kuah masih sama seperti laksa2 yang lain.


Penyediaan spaghetti untuk laksa Johor asli pulak, biasanya selepas direbus dan ditoskan ianya akan dichap iaitu diambil lebih kurang 10-15 urat spaghetti dibelit2 dan dibentuk seakan bersimpul dan disusun rapi. Kelebihan spaghetti yg dichap ialah mudah untuk dihidangkan, iaitu spaghetti mudah diambil dan  spaghetti juga akan berurat cantik dan tidak putus-putus. Atas sebab chap ini, laksa Johor juga dulunya dikenali sebagai laksa chap.



Bagi resepi laksa Johor asli, selain dari spaghetti, ikan yang digunakan untuk kuah ialah ikan tenggiri atau ikan parang, bagi menghasilkan warna kuah laksa yang lebih cantik dan rasa yang lebih enak. Oleh kerana bahannya yang mewah dan penyediaan yang berseni, dikatakan dahulunya, laksa Johor hanya menjadi hidangan golongan bangsawan dan atasan sahaja.  Namun kini, laksa Johor boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja dan ada dijual di restoran mahupun gerai yang menjual masakan Johor. Namun begitu, bagi kebanyakan orang Johor, mereka lebih suka memasaknya sendiri di rumah, bagi mendapatkan keaslian rasa laksa Johor mengikut resepi asli keluaga masing2.

Resepi yang KR sediakan ini mengunakan isi ikan tenggiri, udang serta udang kering. Bagi sesiapa yang nak guna isi ikan sahaja tanpa udang dan udang kering pon boleh. Juga boleh guna ikan yang lain seperti kembong, selar dan sebagainya.  Bagi anda yang berada diluar negeri Johor dan sukar untuk mendapatkan rempah laksa Johor, anda boleh gantikannya dengan rempah kari ikan.




Bahan  Kisar
1 inci halia
½ inci lengkuas
½ inci kunyit
1 btg serai
5 ulas bwg merah
5 ulas bwg putih
10 tangkai lada kering

Bahan  Kuah
500gm Ikan – dibersihkan, rebus dan ambil isinya
200gm udang basah – dikopek kulit dan direbus dgn ikan
100gm udang kering - direndam seketika
800 ml santan dari satu biji kelapa
2 sudu makan kerisik
1 cawan rempah laksa Johor
2 keping asam keping
Minyak untuk menumis
Gula, garam dan serbuk perasa secukup rasa

  

Bahan Hiasan
1 paket spaghetti – direbus, tos dan chap
1 biji timun – kupas kulit, buang biji dan hiris bulatan
1 biji bwg besar – kupas dan dihiris
50gm taugeh – dibuang ekor
8 biji limau kasturi – dibelah dua buang biji
Daun kesum dan daun selasih - dihiris
Sambal belacan


 

Cara-cara
Semua bahan kisar diblender dan ketepikan.  Isi ikan, udang dan udang kering diblender bersama air rebusan ikan menjadi 1 liter isi yang siap diblender. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar sampai garing. Masukkan rempah laksa Johor dan sedikit air   kacau rata dan tunggu sampai minyak naik dan masukkan kerisik. Masukkan isi ikan yang sudah diblender, santan, asam, gula, garam dan serbuk perasa secukup rasa. Didihkan sampai kuah masak. Hidangkan bersama spaghetti dan bahan hiasan yang lain.

Sambal Belacan
5 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
Belacan sebesar ibu jari – dibakar/goreng
Garam dan gula secukup rasa
Cara – tumbuk atau blender kering semua bahan – (petua: bilangan cili yang ganjil dikatakan menghasilkan sambal belacan yg lebih sedap - Wallahualam)

Selamat mencuba :D (hidangan untuk 4-5 orang)

No comments:

Share |